Monday 23 April 2012

MENGENALI BEBERAPA TEORI PEMILIHAN KERJAYA

Teori Pemilihan Kerjaya

Terdapat pelbagai teori kerjaya yang telah dibangunkan yang menjadi asas pengkaji dalam kajian mereka terhadap bidang kerjaya. Antara teori tersebut ialah teori kerjaya Islam, teori pemilihan kerjaya seperti teori Tret dan Faktor, teori Holland, teori Anne Roe dan teori Psikonalitik Bordin (Sidek Mohd Noah, 2002). Manakala teori Super yang diasaskan oleh Donald E.Super pula lebih dikenali menggunakan pendekatan proses.

Teori Kerjaya Islam
Teori Kerjaya Islam ini telah cuba dibangunkan oleh Sidek Mohd Noah (Sidek Mohd Noah, 2002). Teori ini melihat kerjaya sebagai satu kepentingan material dalam aktiviti kehidupan manusia di muka bumi.

Dua elemen asas dalam kerjaya Islam yang tidak dipunyai oleh teori-teori kerjaya Barat ialah kemantapan rohani dan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman. Kemantapan rohani dibentuk melalui cara niat yang baik, keazaman yang kuat, kesabaran yang tinggi, bertawakal kepada Allah dan istiqamah dalam pekerjaan. Elemen pengetahuan pula menuntut setiap individu yang bekerja mencari ilmu pengetahuan yang berkaitan kerana ilmu pengetahuan dikaitkan dengan darjat dan kualiti kerja seseorang.

Mengenai faktor-faktor pemilihan kerjaya, pengkaji berpendapat Islam tidak menolak faktor-faktor yang telah dikemukakan oleh para pengkaji Barat. Faktor yang boleh diterima Islam ialah seperti faktor genetik, pendidikan, pembelajaran dan persekitaran.


Teori Tret Dan Faktor
Teori ini merupakan teori yang tertua tentang pemilihan kerjaya. Teori ini cuba menerangkan proses pemilihan kerjaya dengan berasaskan teori perbezaan peribadi individu.   Parson (dlm. Sidek Mohd Noah) mencadangkan bahawa pemilihan kerjaya yang baik perlu melibatkan tiga pekara iaitu kefahaman yang jelas tentang diri, pengetahuan tentang pekerjaan-pekerjaan dan taakulan yang tepat tentang hubungan antara kedua-dua fakta tersebut. Teori ini juga menegaskan bahawa tugas utama dalam proses membuat pemilihan kerjaya adalah untuk memadankan individu dengan sesuatu pekerjaan. Dengan cara ini, keperluan individu akan dipenuhi dan pencapaian kerja yang memuaskan akan terhasil.

Teori Holland.
Teori Pemilihan Kerjaya Holland merupakan hasil kajian Holland terhadap personaliti yang memfokus kepada tipologi dan banyak dipengaruhi oleh Tret dan Faktor. Tret-tret personaliti biasanya dikenal pasti melalui kecenderungan terhadap matapelajaran sekolah, aktiviti-aktiviti rekreasi, hobi dan kerja, sementara minat vokasional boleh digambarkan sebagai ekspresi personaliti (dalam Sidek Mohd Noah, 2002)
Teori Holland telah mengketegorikan individu kepada salah satu daripada enam kategori yang diberikan oleh Holland berdasarkan pengamatannya terhadap budaya masyarakat Amerika. Enam personaliti tersebut ialah Realistik (R), Investigatif (I), Artistik (A), Sosial (S), Enterprising (E) dan Conventional (C).
Berdasarkan kepada enam kategori individu tersebut, Holland (Zunker, 1994, Osipow, 1973,

Sidek Mohd Noah, 2002) telah mencadangkan enam personaliti individu yang boleh dipadankan dengan pekerjaan tertentu, iaitu:


i. Realistik atau agresif- sesuai dengan kerja-kerja berat yang memerlukan kemahiran dan masculinity. . Kerjaya yang mereka pilih adalah seperti mekanik, juruteknik, tukang kayu dan lain-lain.

ii. Investigatif atau intelektual - sesuai dengan pekerjaan yang lebih memerlukan pemikiran dari perbuatan seperti ahli kimia, doktor dan lain-lain. Individu investigative mempunyai ciri-ciri analitikal, berhati-hati, kritikal, kompleks, ingin tahu, rasional, menyisih diri, pendiam dan lain-lain.

iii. Artistik atau imaginative - artis, sama ada dalam bidang muzik atau seni. . Ciri-ciri yang mereka miliki ialah rumit, tunggang tebalik, emosional, ekspresif, idealistic, imaginative, bebas, intuitif dan lain-lain.

iv. Sosial - individu sosial akan memilih aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan memanipulasi orang lain seperti memberitahu, melatih, mendidik, memperkembang dan mengubati disamping menghindari aktiviti-aktiviti eksplisit, berstruktur dan aktiviti yang melibatkan bahan, peralatan dan mesin. Mereka mempunyai ciri-ciri seperti berpengaruh, berkerjasama, sabar, peramah, pemurah, suka menolong, idealistic, empati, baik hati dan lain-lain. Mereka meminati kerjaya seperti pendidik, ahli psikologi, pegawai kebajikan dan kaunselor.

v. Enterprising atau extrovert - individu enterprising menyukai aktiviti-aktiviti memanipulasi orang lain seperti mengarah, membujuk dan memimpin untuk mencapai matlamat organisasi . Ciri-ciri seperti sukakan pencapaian, suka mengembara, mudah bersetuju, bercita-cita tinggi, angkuh, bertenaga, suka menunjuk, menggembirakan, berusaha, yakin diri dan lain-lain. Kerjaya yang mereka pilih ialah seperti ahli politik, pengurus, eksekutif dan perniaga.

vi. Conventional atau praktikal - individu conventional memiliki minat, kecekapan, persepsi diri dan mempunyai ciri-ciri seperti berhati-hati, akur, teliti, defensif, cekap, sukar dilentur, memendam rasa, tabah hati, praktikal, cermat dan lain-lain. Contoh seperti kerani, setiausaha atau operator.

 Alat-alat ukuran untuk mengukur jenis personaliti serta aspek-aspek lain telah dirangka dan diperkenalkan seperti Vocational Preference Inventory (VPI), Self-Directed Search (SDS), Vocational Exploration and Insight Kit (VEIK) dan My Vocational Situation Inventory (MVS) (Sidek Mohd Noah, 2002).

Teori Super
Teori ini lebih mementingkan konsep kendiri dalam menentukan arah tuju individu dalam bidang pekerjaan. Menurut Super (Isaacson & Brown, 1993), konsep kendiri ini berkembang melalui pertumbuhan fizikal dan mental, pemerhatian terhadap pekerjaan, hubungan dengan orang dewasa yang bekerja, persekitaran dan pengalaman.

Dalam pemilihan kerjaya ini, Super (dlm. Ishamumudin Hj. Ismail, 1997) telah menekankan wujudnya  Peringkat perkembangan menjelaskan mengenai pembentukan konsep kendiri oleh seseorang individu dengan mengenal pasti orang-orang yang signifikan dalam keluarga dan sekolah.Super telah membahagikan peringkat ini kepada tiga bahagian, iaitu:
a. Bahagian fantasi - 4 hingga 10 tahun
b. Bahagian minat - 11 hingga 12 tahun
c. Bahagian kebolehan - 13 hingga 14 tahun

Peringkat penerokaan pula adalah peringkat di mana individu itu berada dalam lingkungan 15 hingga 24 tahun. Dalam peringkat ini, Super membahagikannya kepada tiga bahagian:
Bahagian tidak tetap - 15 hingga 17 tahun
Bahagian peralihan - 18 hingga 21 tahun
Bahagian percubaan - 22 hingga 24 tahun



e. Teori Krumboltz, Mitchell dan Gelatt
Teori ini lebih cenderung kepada pengaruh kehidupan terhadap pemilihan kerjaya. Teori ini menjelaskan terdapat empat faktor dalam proses pemilihan kerjaya iaitu:
a. pengaruh baka dan kebolehan individu
b. persekitaran
c. pengalaman belajar
d. kemahiran menjalankan tugas.

Pengaruh baka dan kebolehan individu merupakan sifat yang diwarisi yang mungkin membataskan peluang pekerjaan individu. Pengaruh persekitaran dan peristiwa dilihat sebagai faktor yang selalunya di luar kawalan individu. Pengalaman belajar meliputi alat-alat pengalaman dalam belajar dan yang mempunyai hubungan dengan pengalaman berlajar. Kemahiran dalam menjalankan tugas meliputi satu bentuk kemahiran individu yang telah dibangunkan seperti kemahiran menyelesaikan masalah, tabiat kerja, set minda, respon emosi dan kognatif.

f. Teori Anne Roe
Teori ini telah diperkenalkan oleh Anne Roe yang merupakan seorang yang terlatih sebagai ahli psikologi klinikal.Teori Roe mengintergrasikan teori personaliti dengan klasifikasi pekerjaan. Teori ini menumpukan kepada dua bahagian iaitu personaliti dan klasifikasi pekerjaan bertujuan untuk melihat hubungan semua bidang pekerjaan dengan latar belakang keluarga dan pengalaman layanan ibu bapa semasa kanak-kanak.  Teori pemilihan kerjaya Roe menyenaraikan tiga faktor iaitu latarbelakang genetik, pengaruh tenaga psikik serta pengaruh genetik dan hieraki keperluan individu (Sidek Mohd Noah, 2002).


Manakala faktor pengaruh tenaga psikik pula merupakan perkembangan keupayaan khas seseorang individu ditentukan oleh ke arah mana tenaga psikik diperkembangkan di luar kawalan atau tanpa sedar.
Pengaruh faktor genetik dan perkembangan hieraraki keperluan mempengaruhi pemilihan kerjaya individu. Antara keperluan utama yang dikenal pasti oleh Maslow ialah keperluan fisiologikal, keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri dan kesempurnaan kendiri. Apabila keperluan asas telah dipenuhi, keperluan yang lebih tinggi terbentuk dan keperluan ini akan terus meningkat sehingga mencapai keperluan yang paling tinggi iaitu kesempurnaan kendiri.

Roe (Zunker, 1986) telah mengklasifikasikan kerja kepada dua kategori utama iaitu person oriented dan non-person oriented. Pekerjaan yang bersifat person oriented adalah seperti perkhidmatan, hubungan perniagaan, pengurusan (pengurusan dalam kerajaan, industri, perniagaan), budaya secara umum (mengajar, menteri, wartawan), keseniaan dan persembahan. Manakala pekerjaan yang bersifat non-person oriented pula ialah pekerjaan yang berkaitan teknologi, kerja-kerja luar (pertanian, perhutanan, perlombongan) dan sains.

No comments:

Post a Comment