Friday 20 April 2012


Kerjaya nakhoda kurang 
diminati


Utusan Malaysia – 16 Disember 2010









MARANG 15 Dis. - Malaysia mempunyai lautan luas yang memberikan kekayaan sumber alam bagi menjana hasil untuk negara dan kesejahteraan rakyat.

Namun anugerah itu tidak akan melimpahkan banyak rezeki jika tidak diterokai sepenuhnya bagi menggerakkan industri dengan keupayaan dan kesediaan belayar jauh mengemudi dan mengendalikan tangkapan.

Perkembangan industri itu semakin pesat dengan permintaan yang terus meningkat dan ia memerlukan nelayan berwibawa dan berkemahiran menguasai teknologi.

Dalam kegiatan penangkapan ikan laut dalam, nakhoda merupakan satu jawatan penting namun ia hampir dikuasai sepenuhnya oleh tenaga luar.

Justeru ia membawa bersama lambakan warga asing dan mengikut statistik Jabatan Perikanan pada 2009, daripada 125,632 nelayan yang bekerja di atas bot atau kapal tempatan, 34,520 adalah warga Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Bagi mengatasi dilema ini, Jabatan Perikanan telah memulakan Program Pembangunan Nakhoda pada tahun 2001 dengan Institut Perikanan Malaysia (IPM) dipertanggungjawab mengendalikannya.

Kursus ini telah dibangunkan untuk memberikan impak besar kepada industri perikanan laut dalam dengan melatih nelayan tempatan dengan pelbagai disiplin pengetahuan berkaitan industri perikanan tangkapan.

Sejak program itu diperkenalkan, seramai 423 orang telah dilatih.

Usaha Jabatan Perikanan untuk mempertingkatkan bilangan nakhoda dan kru kapal tempatan juga dimanifestasikan melalui Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK).

Bagaimanapun, difahamkan usaha menampung kekurangan tenaga kerja ini yang kian meruncing tidak begitu berhasil.



Ia tidak berlaku kerana ramai bekas pelatih kedua-dua program berkenaan lebih gemar mendapatkan kerja dalam industri lain yang menawarkan ganjaran lumayan dan persekitaran lebih selesa.

kapal laut 








Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perikanan, Datuk Suhaili Lee memberitahu, kurang 50 peratus daripada mereka yang mengikuti Program Pembangunan Nakhoda yang ditawarkan oleh IPM meneruskan kerjaya dalam industri perikanan tangkapan.

"Berdasarkan kajian yang dijalankan, lebih 50 peratus memasuki industri lain termasuk kapal perdagangan dan kapal pelancongan selain feri," katanya kepada media pada Majlis Penutup Kursus dan Penyampaian sijil IPM Terengganu 2010 di sini baru-baru ini.

Seramai 59 pelatih Program Pembangunan Nakhoda yang berjaya menamatkan latihan menerima sijil dan kumpulan pelatih tersebut merupakan peserta terakhir program itu.

Mereka juga merupakan antara 1,071 pelatih pelbagai kursus yang menerima sijil pengajian masing-masing di IPM sepanjang tahun ini.

Semenjak 1991 sehingga kini, IPM telah melatih 11,962 pelatih dan kakitangan Jabatan Perikanan dalam pelbagai bidang berkaitan industri itu.
Turut diundang untuk upacara itu ialah para pengusaha perikanan yang berjaya serta pengerusi-pengerusi persatuan nelayan yang diharap dapat merangsang para pelatih supaya terus berjaya dalam kerjaya ini dengan menyerapkan mereka dalam industri itu.

Program Pembangunan Nakhoda juga akan diserapkan dalam program Kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada tahun depan bagi mengelak pertindihan kursus yang ditawarkan dan mengoptimumkan penggunaan kapasiti pembelajaran dan sumber serta meningkatkan keberkesanan kos.

Ia juga adalah sebahagian daripada usaha melahirkan nakhoda yang kompeten, mahir dan cekap selain berkomunikasi dengan baik serta sahsiah positif.

Di bawah SKM, para pelatih perlu menjalani latihan melalui empat tahap kemahiran untuk mencapai peringkat nakhoda dan mengambil masa kira-kira tiga tahun berbanding Program Pembangunan Nakhoda yang memakan masa selama enam bulan.

Para pelatih SKM akan menerima akreditasi di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia dalam memenuhi standard antarabangsa yang ditetapkan oleh International Maritime Organisation (IMO).

Program Pembangunan Nakhoda dan SKM juga merupakan satu langkah untuk mengubah corak hidup nelayan yang masih dikaitkan dengan kemiskinan dalam industri yang besar pulangannya.

Justeru mereka perlu membuka minda untuk mengubah corak hidup dan berusaha membentuk imej baru golongan nelayan dengan sahsiah diri yang positif.

Mengikut penilaian yang dijalankan oleh IPM, kesukaran mendapatkan kerja dalam bidang perikanan tangkapan bukanlah isu besar kerana peluang luas sentiasa terbuka.

Namun, masalah sikap menjadi halangan utama dan pelatih perlu bersedia menempuh cabaran dengan bermula dari bawah serta sanggup berada lama di lautan.

No comments:

Post a Comment